Aduan Rakyat < Kembali ke Aduan Rakyat

Keselamatan Laman Sesawang

26 Jun 2011, 09:04pm by 1055381


Baru-baru ini media melaporkan isu penggodaman laman sesawang agensi kerajaan.

Sekaligus mengundang pelbagai reaksi, sehingga menjurus kepada pemantapan sistem keselamatan siber negara.
 
Dan apabila, Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, mengumumkan pelancaran e-Tukar Hak Milik Sementara  minggu lalu, ia mengundang reaksi.

Emel daripada individu berkenaan menyambut baik pelancaran e-Tukar Hak Milik Sementara Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ.

Malah pengadu mendakwa beliau sendiri pernah menghadapi masalah apabila menjual kenderaan miliknya kepada syarikat kenderaan terpakai sebelum ini.

Di mana kenderaan pengadu tidak ditukar hak milik walaupun dijual kepada pihak ketiga.

Pun begitu pengadu ingin tahu tahap keselamatan data yang diproses secara elektronik oleh JPJ, terutama ketika media menampilkan berita godam.
 
Perkara ini kami rujuk kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hasan yang mengakui setiap transaksi secara elektronik di dunia berhadapan dengan masalah godam.

Cara JPJ berhadapan dengan situasi ini ialah memastikan benteng pertahanan siber serta sistem sokongan yang mampu dirujuk semula.
 
Katanya JPJ memilik sistem sokongan bagi pengkalan data bagi setiap urusan elektroniknya.

Selain itu sistem manual yang berteraskan rekod urusan yang dicetak di kaunter juga diarkibkan untuk rujukan.

Sehingga kini e-daftar dan e-insuran yang di gunapakai JPJ belum berdepan dengan cubaan pengodaman.

DATUK SOLAH MAT HASAN/ KETUA PENGARAH JPJ.
Dalam kita punya pemantauan, inspectorat, kebanyakan bukan disebabkan oleh sistem. Tapi kebanyakan disebabkan manipulasi dari segi borang tertentu. Bukan melalui penggodaman sistem. Salahlaku pihak runner guna I/C palsu atau dengan kerjasama secara kerjasama disengaja oleh kakitangan kita. Bukan ditembusi sistem tu.
 
Solah tidak dapat mengulas lanjut mengenai keselamatan data elektronik JPJ demi memelihara aspek keselamatan.

Menurutnya, e-Tukar Hakmilik Sementara memudahkan penjualan kenderaan kepada syarikat kenderaan terpakai.

Ia memudahakan pemilik kenderaan mendapat pengesahan bahawa kenderaan yang dimiliki telah dijual kepada syarikat kenderaan terpakai.

Salinan e-Tukar Hakmilik Sementara boleh diperolehi serta merta di syarikat berkenaan sebaik pemilik menyerah kunci kenderaannya.

Ini bermakna apa saja yang berlaku pada kenderaan berkenaan setelah di serahmilik adalah tanggungan syarikat kenderaan terpakai.

Syarikat kenderaan terpakai pula perlu akses laman sesawang JPJ untuk mengemuka data urusan jual beli kenderaan yang dilakukan dengan kadar segera.

Dalam tempoh enam bulan, jika kenderaan yang di serahmilik kepada syarikat kenderaan terpakai berkenaan masih belum terjual, maka  secara automatik menjadi butiran kekal dalam sistem data elektronik JPJ.

Kepentingan pengguna dilindungi selagi mereka mempunyai salinan pindah hakmilik kenderaan yang dikeluarkan syarikat berkenaan.

Sebelum mengakhiri Aduan Rakyat, ingin saya berkongsi maklumat mengenai skim gores dan menang yang masih berlaku.

Masih ramai yang alpa, tetapi harus berwaspada setiap masa.

Ini kerana, penganjur sering mencari mangsa.

Jangan terperdaya dengan sebarang promosi atau skim yang menjanjikan hadiah atau pulangan lumayan walaupun secara percuma kerana ada udang di sebalik batu.

Juga, jangan beri kesempatan untuk jurujual ambil lebih daripada 30 saat masa anda untuk menjelaskan produk yang dipromosikan kerana anda mungkin terpukau dengan pujuk rayu mereka.

Dan satu lagi, kikis sikap tamak, yang lazimnya mendorong pengguna terperdaya dan akhirnya rugi.

Sekiranya ada aduan, kirimkan ke aduan rakyat@tv3.com.my.

Lengkapkan dengan nama, alamat dan nombor telepon.

Saya, Jaffry Azman, Aduan Rakyat, TV3, ambil berat.