Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

3 Remaja Maut Kemalangan Di Lebuhraya Persekutuan

7 Dec 2010, 04:12pm by


Tiga remaja maut, seorang daripadanya putus kaki, dalam kemalangan ngeri di Lebuh raya Persekutuan, ibu negara awal pagi tadi. Turut parah, pemandu sebuah lagi kereta yang bertembung dengan kereta Kancil dinaiki remaja tadi.

Kemalangan dilaporkan jam 3.28 pagi. Perodua Kancil dinaiki remaja itu dalam perjalanan ke Klang, membuat pusingan 'U'. Tindakan secara tiba-tiba itu mengundang padah, apabila sebuah Proton Waja datang dari arah sama, melanggarnya.

Rempuhan kuat itu menyebabkan dua daripada penumpang Kancil, tercampak. Seorang daripadanya, dikenali Fong Mun Fai, 18 tahun, terpelanting keluar lalu digilis sebuah lori. Seorang lagi mangsa Liew Yuh Fen, 17 tahun, juga maut setelah tercampak ke pembahagi jalan.

Pemandunya pula, Chong Jin Kong, juga 17 tahun, patah kaki kanan dan putus kaki kiri akibat tersepit dalam kereta dan meninggal dunia di hospital. Pemandu Proton Waja, Sukvinder Singh, 27 tahun, juga parah dan patah kaki. Bomba hanya dapat mengeluarkan mangsa dari kereta yang remuk, setengah jam kemudian. Sukvinder Singh kini dirawat di pusat perubatan universiti malaya dan masih kritikal.