Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

AKTIVITI MENEMBAK KD SRI LIKAS (KDSL) DI LAPANG SASAR KEM PARADISE, KOTA BELUD

1 Oct 2012, 07:29pm by Mohamad Fuad Abdul Rahman Abdul Rahman


  Kota Kinabalu – Aktiviti menembak telah diadakan di lapang sasar Kem Paradise Kota Belud, Sabah, pada 29 dan 30 Sep bagi memenuhi latihan bulanan Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dan Pegawai Kadet (PK) Pasukan Latihan Pegawai Simpanan TLDM (PALAPES-Laut) , Universiti Malaysia Sabah (UMS). Seawal 0630 pagi, PK PALAPES-Laut UMS telah bertolak dari Universiti Malaysia Sabah ke Kota Belud dan sampai di destinasi pada pukul 0800.

Seramai 56 orang PK PALAPES-Laut yang terdiri daripada 25 orang PK Pengambilan Pertama dan 31 orang PK Pengambilan Kedua telah menyertai aktiviti menembak di bawah pengendalian Pegawai Memerintah KDSL, Leftenan Mohd Hanif bin Husain TLDM, pegawai koordinasi PALAPES-Laut UMS dan staf PKSL. Aktiviti ini turut disertai oleh pegawai dan anggota PSSTLDM, KDSL. 



Sebelum memulakan aktiviti menembak, Pegawai Memerintah KDSL, telah memberi taklimat tentang penggunaan senjata AUG Styer serta langkah-langkah keselamatan sewaktu mengendalikan senjata. Taklimat ini turut dibantu oleh BM TLR Mohamad Mustamam bin Ismail serta staf-staf dari Pusat Kecemerlangan Perahu Layar dan staf dari KDSL.

Sepanjang aktiviti menembak dijalankan, mereka dapat mempelajari tatacara mengendalikan AUG Styer dan teknik-teknik menembak yang betul, peraturan-peraturan semasa menembak serta cara-cara memastikan senjata adalah selamat selepas menembak untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.



Di samping itu, pertandingan menembak antara pegawai, pegawai kadet, dan staff juga diadakan. Persaingan sengit dapat dilihat antara mereka dari segi ketepatan dan ketangkasan untuk mendahului pesaing. Selain itu, bakat-bakat baru juga dapat dicungkil sepanjang ini aktiviti menembak ini terutamanya bagi PK PALAPES-Laut yang baru belajar menembak.

Pada sebelah petang, semua yang terlibat telah bekerjasama membersih kawasan penembakan diikuti dengan pemeriksaan badan dan membaca ikrar, seterusnya mengemaskan senjata dan peralatan untuk dikembalikan ke gedung senjata KD SRI KOTA KINABALU.

Aktiviti ini berakhir dengan pembersihan senjata AUG Styer yang telah digunakan. Semasa aktiviti pembersihan senjata ini dijalankan, PK dan anggota PSSTLDM telah didedahkan tentang bahagian-bahagian yang ada pada senjata tersebut. Mereka juga telah belajar dengan lebih mendalam tentang bahagian-bahagian yang terdapat dalam senjata AUG Styer ini dengan meleraikan senjata tersebut dan memasang semula setelah senjata tersebut dibersihkan.

Kesimpulannya, segala pelajaran asas pengendalian senjata api amat penting serta perlu difahami dengan lebih mendalam sebagai seorang tentera. Selain itu,  penjagaan senjata juga merupakan satu langkah yang tidak boleh diabaikan bagi memastikan senjata tersebut dapat berfungsi dengan baik.

 

Return to Top