Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Anak Bunuh Bapa Yang Dera Ibunya

1 May 2012, 01:34pm by SITI NORFAIRUZ S. MOHAMED


Tidak tahan kerana sering melihat ibu didera oleh bapanya, seorang remaja 15 tahun mengambil tindakan nekad.

Dia bertindak kejam dengan membunuh bapa kandungnya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi tadi di Taman Bersatu, Simpang Pulai, Perak.

Ketika kejadian, hanya mangsa Jaswant Singh, yang juga seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun dan anak sulungnya berada di rumah.

Mangsa dilaporkan dibunuh dan disembelih anak lelakinya dalam sebuah bilik di rumah ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata selepas kejadian, remaja terbabit membuat laporan kononnya menemui mayat bapanya dipercayai dibunuh.

Polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa dengan kesan luka dan berlumuran darah.

Pisau dipercayai digunakan dalam pembunuhan, turut dijumpai.

Remaja terbabit ditahan awal pagi tadi di tempat kejadian.

Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk proses perintah tahanan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa kini masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.