Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Anggota MALBATT di Lubnan dipakai pingat PBB

18 Sep 2012, 01:36am by Mohamad Fuad Abdul Rahman Abdul Rahman


Tibnine, Selatan Lubnan - UNIFIL hari ini telah memberikan penghargaan kepada 535 Pegawai dan anggota MALBATT 4 yang menyertai misi UNIFIL di Selatan Lubnan.        Majlis Pemakaian Pingat PBB yang dilaksanakan di Chateu de Tibnine bermula pada jam 11.00 pagi  disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Gaetano Zauner (Komander Sektor Barat UNIFIL).

Turut hadir Tuan Yang Terutama Ilango Karuppannan (Duta Malaysia di Lubnan) juga memakaikan pingat PBB kepada warga MALBATT 4. Selain itu, turut diberi penghormatan untuk memakaikan pingat kepada Pegawai dan anggota MALBATT adalah Kolonel Saddallah Alhamad (wakil South Litani Sector Komander) Kolonel Michael Clancy (Timbalan Komander Sektor Barat) dan Kolonel Philip Francois (Force Commander Reserve Commander) .           Para tetamu seramai 500 orang terdiri daripada Mayor, Timbalan Mayor, Moukhtar, dan para penduduk tempatan serta staf UNIFIL.

Perbarisan yang  diketuai oleh Leftenan  Kolonel Abdul Razak b. Ibrahim  terdiri daripada 4 detasmen yang mewakili Markas Batalion, Kompeni A, Kompeni B dan Kompeni C.

Dalam ucapannya, Brigedier Jeneral Gaetano Zauner mengucapkan penghargaan kepada MALBATT 4 yang telah membuktikan profesionalisme yang tinggi dalam mengekalkan keamanan di Selatan Lubnan. Malahan MALBATT 4 juga telah berjaya meningkatkan keyakinan penduduk tempatan terhadap kehadiran UNIFIL dalam menjamin  keselamatan di Selatan Lubnan.

Duta Malaysia di Lubnan, TYT Ilango pula mengucapkan tahniah kepada kontinjen MALBATT 4 kerana  berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang.  MALBATT 4 berjaya mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia dan negara Malaysia dengan menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi antara kontinjen lain  dalam UNIFIL dan mewujudkan keakraban dengan penduduk tempatan.

Komander MALBATT 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad merakamkan penghargaan kepada UNIFIL dalam membantu kelancaran penugasan MALBATT 4 dan kepada penduduk tempatan yang telah memberikan kerjasama serta komitmen yang tinggi dalam mewujudkan kestabilan serta keamananan di bumi Selatan Lubnan. Manakala Spr Mohd Zikri dari elemen Jurutera juga menyatakan beliau amat bertuah dan berbangga kerana dapat menabur bakti di bumi Ambia walaupon berjauhan dengan keluarga tercinta.

Majlis berakhir dengan persembahan kebudayaan seperti Tarian Ngajat, Joget Melayu, Silat dan juga Tarian Perang Para. Chateu de Tibnine merupakan lokasi bersejarah di Selatan Selatan Lubnan. Ianya dibina pada tahun 1100 dan pernah digunakan oleh Kerajaan Uthmaniyyah semasa Perang Salib. MALBATT 4 akan meneruskan penugasan selama setahun hingga Oktober 2012 .