Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

IJN Menangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011

28 Aug 2012, 01:38pm by SITI NORFAIRUZ S. MOHAMED


Institut Jantung Negara, IJN hari ini dinobatkan pemenang Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011 berdasarkan kreativiti dan kecemerlangan perkhidmatan yang diberi institut berkenaan.

Anugerah berprestij itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di IJN ibu negara, pagi tadi.

Inisiatif kegemilangan IJN membolehkan institut yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011 bernilai RM1 juta beserta plak dan sijil penghargaan.

Ia dinilai jawatankuasa pemilihan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai pegawai tinggi kerajaan serta tokoh terkemuka daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan.

Empat kriteria diambilkira--kreativiti, relevan, signifikan dan keberkesanan yang memberi penekanan terhadap impak sesuatu inovasi.

Ini tahun ketiga Anugerah Inovasi Perdana Menteri dianjurkan bagi menggantikan Anugerah Kualiti Perdana Menteri bagi mengiktiraf usaha inovatif dilakukan jabatan dan agensi perkhidmatan awam.

Sebelum ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN dan kerjasama strategik Angkatan Tentera Malaysia, ATM dan Polis Diraja Malaysia PDRM, masing-masing menerima anugerah yang sama pada tahun 2009 dan 2010.