Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Kes Bunuh 4 Sekeluarga Di Sibu Selesai

6 Jan 2012, 07:08pm by SHELIZAN DOLLAH


Polis hari ini mengesahkan kes pembunuhan empat sekeluarga di Sibu, selesai dengan tertangkapnya dua beranak dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian pagi Selasa lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon berkata pihaknya sudah memperoleh bukti kukuh terhadap dua suspek itu yang juga jiran mangsa.

DATUK LAW HONG SOON / TIMBALAN PESURUHJAYA POLIS SARAWAK.
Kes telahpun kami berjaya selesaikan.Suspek telah kenal pasti dan telah pun dalam tahanan kami. Sekarang kami sedang siasat untuk dapatkan keterangan diperlukan untuk kita selesaikan atau kemaskini kertas siasatan dan akan dirujuk kepada Mahkamah Persektuan untuk dapat arahan selanjutnya.
 
Tambah beliau, remaja berusia 17 tahun dan ibunya, 44 tahun ditahan lewat petang semalam.

Semakan bagaimanapun mendapati suspek tiada rekod jenayah.

Kedua-dua suspek yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Sibu siang tadi, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Indra Ayub.

Datuk law turut mengesahkan dua individu yang ditangkap sebelum ini telah dibebaskan selepas disahkan tidak terlibat dengan pembunuhan itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan motif sebenar kejadian supaya tidak menjejaskan siasatan.

Anak mangsa berusia lapan tahun yang terselamat dalam serangan itu, masih dirawat di Hospital Umum Kuching.

Keadaannya dilaporkan stabil.