Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Remaja Ditemui Melecur Seluruh Badan

27 Feb 2012, 12:32pm by SHELIZAN DOLLAH


Seorang remaja ditemui dalam keadaan melecur seluruh anggota badannya selepas disimbah dengan minyak petrol dan dibakar.

Keadaan remaja berusia 19 tahun itu kini dilaporkan kritikal dan masih dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya,  mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahirudin Mohd Shauki.

Mangsa ditemui orang awam kira-kira 400 meter dari rumahnya di Kampung Sepakat, Kuala Kubu Baru.

Mangsa sebelum itu cuba mendapatkan pertolongan setelah dibakar oleh tiga suspek.

Cebisan baju mangsa juga ditemui berhampiran Plaza Tol Bukit Tagar.

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat serta motif kejadian itu.

Ini termasuk mengenal pasti lokasi sebenar mangsa dibakar.

Muhammad Syahirudin masih tidak sedarkan diri dan masih ditempatkan di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
 
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil ke Balai Polis Daerah Hulu Selangor atau menghubungi Rakan Cop di talian 03 2052 9999.