Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Penjenayah Rempuh Kereta Peronda Polis Ditembak Mati

18 Oct 2011, 01:33pm by SHELIZAN DOLLAH


Seorang pemandu ditembak mati selepas bertindak nekad merempuh sebuah kereta peronda polis di Sabah.

Bagaimanapun tiga lagi rakannya berjaya melarikan diri.

Kejadian berlaku jam 1.10 pagi tadi di sebuah kawasan lapang yang sunyi di Jalan Safoda-Kinarut.

Sebuah kereta peronda polis yang sedang melakukan rondaan, terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik kenderaan dihampiri polis, pemandunya tiba-tiba memecut dan merempuh bahagian hadapan kereta peronda tersebut.

Rempuhan menyebabkan kereta peronda polis teranjak ke belakang sejauh 40 meter.

Bagi mempertahankan diri, anggota polis bertindak melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek.

Akibatnya, pemandu kereta terbunuh.

Tiga rakannya sempat melarikan diri.

Identiti lelaki  berusia dalam lingkungan 30-an itu belum dikenal pasti.

Usaha memburu tiga lagi rakan suspek giat dijalankan.

Kawasan ini dikatakan sering digunakan penjenayah untuk melupuskan barang curi termasuk kenderaan curi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ancaman maut terhadap anggota polis.