Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Tan Sri Aseh Che Mat Terajui Perbadanan Putrajaya

9 Jul 2012, 08:06pm by Rodhiah M


Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg Tan Sri Dato Seri (Dr) Aseh Haji Che Mat, 61 tahun dilantik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu berkuatkuasa 1 Ogos 2012. Beliau menggantikan YBhg Tan Sri Samsudin Osman yang tamat tempoh kontraknya pada 31 Julai 2012.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, YB Dato Raja Nong Chik Dato Raja Zainal Abidin berkata Tan Sri Samsudin telah menyandang jawatan sebagai Presiden PPj yang kedua selama 8 tahun sejak 1 Ogos 2004. Manakala penggantinya, Tan Sri Aseh cukup berpengalaman luas dalam hal ehwal keselamatan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan, sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan terutama di Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri.

Jelas Dato' Raja Nong Chik, perlantikan Tan Sri Aseh untuk menerajui Putrajaya diharap dapat meneruskan kecemerlangan yang telah dibawa oleh Tan Sri Samsudin sehingga menjadikan Putrajaya, bukan sahaja sebagai sebuah Pusat Pentadbiran 2 Kerajaan Persekutuan ketika ini, malah telah dikenali di mata dunia menerusi pelbagai penganjuran acara berprestij dan bertaraf dunia.

Dato' Raja Nong Chik turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin yang telah membawa Putrajaya ke landasan yang tepat serta mewujudkan pelbagai ikon tersendiri untuk bandar pintar dan hijau ini, sekaligus dikenali bukan sahaja dalam negara malah di persada antarabangsa.