Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Kumpulan Pertama 450 Jemaah Haji Selamat Berlepas

7 Sep 2013, 12:10pm by Rodhiah Abu Yazid


Penerbangan haji pertama berlepas awal pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA ke Madinah, Arab Saudi.

Kumpulan pertama 450 jemaah haji itu berlepas kira-kira jam 1.30 pagi, dengan menaiki pesawat Saudi Airlines yang mengambil masa lapan jam dan dijangka tiba di Madinah kira-kira jam sebelas pagi waktu Malaysia.

Terdahulu kesemua jemaah diberi taklimat ringkas di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya oleh Pengerusi Tabung Haji Datuk Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ismee Ismail.

Untuk tahun ini, seramai 22,320 jemaah akan menunaikan ibadat itu secara berperingkat.

Ia membabitkan 64 penerbangan yang akan berlepas dari KLIA, Senai, Bayan Lepas, Alor Setar, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Penerbangan terakhir ke Madinah dijadual pada 9 Oktober ini.

Manakala, operasi membawa pulang jemaah pula bermula 21 Oktober depan manakala 18 November pula untuk penerbangan terakhir.

Untuk memantapkan pengurusannya tahun ini , 1,200 petugas haji ditempatkan di sini, manakala 564 pula berkhidmat bagi tugasan kebajikan dan perubatan di tanah suci.