Berita Terkini < Kembali ke Berita Terkini

Tugas murni Jabatan Bomba dan Penyelamat selamatkan kucing

2 Nov 2012, 02:21pm by Mohamad Fuad Abdul Rahman Abdul Rahman


SHAH ALAM, Selangor --Sudah menjadi lumrah alam, kerja yang baik sering disalah ertikan dan dipandang serong. Begitulah pengalaman perit yang dilalui oleh PBKII Abdul Rahman dan 6 orang pegawai yang menghadiri panggilan menyelamat kucing terperangkap di dalam saluran air di Jalan Komuditi 23/9B, Seksyen 23, Shah Alam petang tadi.

Bomba yang menerima panggilan pada jam 1454hrs telah hadir ke lokasi apabila dimaklumkan 2 ekor kucing terperangkap di atas bumbung rumah teres yang tidak didiami. Walaubagaimanapun, kucing tersebut telah memasuki saluran air kerana ketika itu hujan lebat beserta petir melanda Bandaraya Shah Alam. Kedua-dua ekor kucing tersebut berjaya diselamatkan apabila saluran air dibuka menggunakan pemutar skru dan berada dalam keadaan lemas dan kesejukan.

Anggota bertugas telah memberikan bantuan pernafasan dan memanaskan bahan kucing terbabit dan Alhamdulillah, kucing tersebut kembali pulih dan mendapat pujian oleh pemanggil yang turut sama berada di situ. Tetapi.....Ketua Balai mendapat panggilan misteri dari lelaki yang tidak memperkenalkan diri yang mempertikaian pasukan Bomba yang dikatakan agak lama berada di dalam kawasan rumah tersebut.

Ketua Balai yang terperanjat dengan aduan tersebut telah hadir ke lokasi dan mengarahkan pegawai dan anggota balik ke balai sebelum keadaan bertambah rumit. Setelah disiasat didapati berlaku salah faham antara pemanggil, tuan rumah dan jiran bersebelahan yang telah memberikan maklumat yang tidak benar kepada tuan rumah dan Ketua Balai.

Tuan rumah telah memohon maaf kepada Ketua Balai dan pasukan Bomba yang berjaya menjalankan tugas dengan baik. Alhamdulillah, tiada seorang di kalangan kejiranan tersebut yang mengaku pemilik kucing tersebut dan Ketua Balai telah membawa kucing tersebut ke Klinik Haiwan berdekatan untuk mendapat rawatan.

Motif.....jangan terlalu cepat membuat keputusan tanpa mengetahui kisah sebenar dan kita sebagai jiran, jangan menjadi punca syak wasangka antara kejiranan yang boleh menyebabkan orang lain menjadi mangsa.