Tajuk Utama < Kembali ke Tajuk Utama

19 Lesen Pemborong Minyak Masak Kelantan Dibatalkan

23 Jan 2011, 09:05pm by


19 lesen pemborong minyak masak membabitkan gudang yang terletak berhampiran sempadan Sungai Golok di Kelantan, telah dibatalkan.

Arahan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mengelak ketirisan minyak masak ke negara jiran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan, Fauzi Harun berkata, pihak terbabit sebelum ini dibenar menjual secara borong, minyak masak di kawasan Tumpat dan Pasir Mas.

Ia juga membabitkan lokasi gudang yang terletak dalam jarak kurang 5 kilometer dari sempadan Sungai Golok.

Lesen itu membenarkan mereka menyimpan antara 10 hingga 40 tan minyak masak dalam satu-satu masa.

Fauzi Harun/Pengarah KPDNKK Negeri Kelantan
"Gula dan minyak masak. Setelah kerajaan beri subsidi maka kita tarik balik. Saya telah batalkan lesen ini selepas arahkan KPDNKK untuk batalkan lesen tersebut."

Beliau berkata demikian selepas melawat Syarikat Tanjung Pauh Sendirian Berhad, sebuah syarikat pembungkus minyak masak di Bachok.

Syarikat itu berupaya membungkus 641 tan metrik minyak masak sebulan menggunakan peralatan canggih.

Mengenai isu kekurangan bekalan minyak masak di Kelantan, Fauzi berkata, sehingga kini 85 peratus masalah telah selesai.

Sejak sebulan lalu, dua buah kilang minyak masak di Pengkalan Chepa dan di Machang, juga disita kerana beroperasi tanpa lesen.

Ia turut membabitkan rampasan minyak masak berjumlah RM65,666.