Tajuk Utama < Kembali ke Tajuk Utama

Bot Pelancong Ke Perhentian Terbakar Dan Karam

13 Mar 2011, 07:47pm by


Percutian hampir bertukar menjadi tragedi.

Itu yang dilalui 42 penumpang bot apabila bot mereka naiki terbakar dan karam di tengah laut.

Kejadian jam 10.30 pagi tadi berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.

Bot yang membawa 3 pelancong asing, 33 pelancong dari Melaka, serta 4 penduduk tempatan itu dipercayai terbakar kira-kira setengah jam selepas berlepas dari jeti pelancong Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian.

Ia menyebabkan semua pelancong terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.

Ada di antara mereka melecur dan dikejarkan ke hospital daerah Besut untuk rawatan.

17 kanak-kanak dan remaja berumur antara 3 hingga 15 tahun antara penumpang bot.

Ketika kejadian pemandu bot mengarahkan semua penumpang memakai jaket keselamatan dan diminta terjun ke laut dan berpaut pada tali yang disediakan.

Semua penumpang bertarung nyawa apabila dilambung ombak setinggi 3 meter.

Mereka diselamatkan oleh bot nelayan kira-kira 10 minit selepas kejadian.

Sebelum kejadian, penumpang mendakwa terhidu bau minyak dan asap.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.