Tajuk Utama < Kembali ke Tajuk Utama

Konsep Gerakan Kesederhanaan Global Disambut Baik CHOGM

30 Oct 2011, 08:54pm by SHELIZAN DOLLAH


Konsep gerakan kesederhanaan global, GMM, yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disambut baik dan diterima sebagai satu daripada nilai perjuangan Komanwel.
 
Dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak CHOGM 2011 siang tadi, ketua-ketua kerajaan Komanwel berkata kesederhanaan yang terkandung dalam cadangan Malaysia itu adalah nilai penting untuk mengelak keganasan dan kekerasan puak pelampau.

Ashraf Abdullah melaporkan dari Perth, Australia.

Mengulas perkara itu dalam sidang akhbarnya bersama pemberita Malaysia, Datuk Seri Najib berkata setelah dimasukkan dalam pernyataan bersama, sekretariat CHOGM akan mendokong GMM dan nilai-nilai yang terkandung didalamnya.

Beliau berkata satu seminar besar-besaran akan diadakan di Kuala Lumpur Januari depan yang akan dihoskan oleh alumni Universiti Islam Antarabangsa.

Ia bertujuan untuk menguatkan lagi pemahaman konsep dan nilai konsep GMM itu.

Beberapa pemimpin luar akan dijemput menghadiri seminar tersebut.

Konsep GMM yang berlandaskan keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan pembangunan sejagat,  mengecam keganasan dan puak pelampau.

Ia pernah menerima pengiktirafan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama dan Perdana Menteri Australia Julia Gillard. 

Datuk Seri Najib juga berkata CHOGM 2011 telah mengambil beberapa ketetapan untuk menjadikan Komanwel lebih relevan dan berkesan.

Beliau berkata CHOGM 2011 juga telah memperkukuhkan lagi komitmen kepada nilai utama Komanwel terutama sekali demokrasi, kedaulatan undang undang dan hak asasi manusia.