Tajuk Utama < Kembali ke Tajuk Utama

PRU 13 : BN Sabah Sudah Serah Senarai Lengkap

13 Jan 2013, 09:00pm by Rodhiah M


Barisan Nasional Sabah sudah menyerahkan senarai lengkap calonnya bagi Pilihan Raya Umum ke-13, untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, calon yang terpilih perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk kemenangan BN dengan meletakkan perjuangan parti lebih utama daripada kepentingan peribadi.

DATUK SERI MUSA AMAN / PENGERUSI BN SABAH
"Kita telah mengemukakan dan juga bahagian parti UMNO juga telah kemukakan, saya rasa presiden-presiden parti komponen juga dah kemukakan kepada presiden parti dan terpulang kepada beliau dan saya minta kepada semua calon, bakal calon, siapa juga yang dicalonkan menjadi calon, kita mesti patuh yang
penting bukan peribadi bukan diri sendiri, yang penting parti BN itu terus menang terus perolehi kejayaan besar untuk pastikan kesinambungan pemerintahan kerajaan BN di Malaysia dan Sabah".

Pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu, BN menang 24 kerusi Parlimen di Sabah dan hanya tewas satu kerusi kepada DAP, iaitu di Kota Kinabalu.

Manakala bagi kerusi DUN pula, BN menang di 59 daripada 60 kerusi selepas tewas kepada DAP hanya di DUN Sri Tanjung.

Mengambil kira cabaran getir oleh pakatan pembangkang pada PRU 13, Datuk Seri Musa berkata, jentera parti sudah bekerja keras untuk turun padang menemui rakyat khususnya pengundi di akar umbi.

Beliau percaya majoriti rakyat Sabah akan meneruskan sokongan kepada BN, demi kestabilan, kemakmuran dan pembangunan berterusan.