Tajuk Utama < Kembali ke Tajuk Utama

Pengawal Keselamatan Maut Ditembak Perompak

31 Oct 2011, 09:00pm by SITI NORFAIRUZ S. MOHAMED


Seorang pengawal keselamatan yang baru selesai memungut wang di Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPUM maut setelah ditembak dua perompak bersenjatakan pistol.

Dalam rompakan nekad itu, perompak melarikan karung berisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM173,000.

Kejadian di persimpangan lampu isyarat PPUM kira-kira jam 10:35 pagi.

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga pengawal keselamatan berhenti di lampu isyarat, dihampiri dua lelaki bermotosikal.
 
Bersenjatakan pistol jenis Revolver,  suspek mengarahkan pengawal terbabit membuka pintu.

Berang arahan tidak dituruti, kedua-dua perompak terbabit melepaskan tiga das tembakan.

Dua das tepat mengenai rusuk kiri mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

Perompak kemudian bertindak merampas karung berisi duit dan melarikan diri ke arah Jalan Gasing.

Mangsa dikenali sebagai Burhanudin Jamaluddin, 23 tahun dari Triang, Pahang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.

Dua rakannya bagaimanapun terselamat.

Pihak polis sedang meneliti rakaman litar tertutup.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.