< Back to Press Releases

Press Releases

Dendam Sarakit

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 20 September 2012 – Demi cinta, mereka telah berjanji sehidup semati walau apapun halangan yang datang. Namun, cinta Sarakit tidak kesampaian dek tragedi yang menimpa selepas dirogol dan dibunuh walaupun dia sedang berbadan dua. Apabila qarin Sarakit telah dipuja oleh Dina untuk tujuan menambat hati Rafiq, dia kembali membalas dendam terhadap mereka yang telah menyebabkan kematiannya. 

Terbaru di slot Seram, saksikan drama bersiri “Dendam Sarakit” yang bakal menggantikan “Waris” mulai 27 September 2012, setiap hari Khamis pada jam 10.00 malam. Drama bersiri 13 episod terbitan Wayang Tinggi Production ini diarahkan oleh Fairuz Loy dengan nukilan skrip oleh Azmy Ariff telah membariskan pelakon-pelakon popular tanahair seperti Fouziah Gous, Zain Hamid (Ruffedge), Sharifah Sakinah, Datin Noniswara, Namron, Dato’ Zamshuri Ramli, Adam Shah, Jaslin Puasa, Jobot dan Ucop Cecupak.

“Dendam Sarakit” mengisahkan cinta seorang isteri yang tidak kesampaian akibat dirogol dan dibunuh ketika suaminya, Rafiq pulang ke Kuala Lumpur melawat ibunya, Puan Mariam selepas beberapa bulan mereka berkahwin. Rafiq (Zain Hamid) ditugaskan oleh majikannya di sempadan Malaysia / Thailand. Dia telah bertemu dengan Sarakit (Fouziah Gous), seorang gadis berketurunan Siam. Walaupun hubungan cinta Rafiq dan Sarakit tidak direstui oleh ibu Rafiq, Puan Mariam (Datin Noniswara), mereka telah berkahwin dan berjanji untuk sehidup semati walaupun apa halangan yang datang.

Rafiq yang bimbang dengan keadaan isterinya yang sedang berbadan dua telah bergegas pulang. Puan Mariam kecewa dengan sikap anaknya yang ingkar dengan kehendaknya supaya meninggalkan Sarakit. Puan Mariam sanggup menggunakan khidmat bomoh dan berpakat dengan Dina (Sharifah Sakinah) untuk memisahkan Rafiq dan Sarakit. Dalam diam-diam, Dina telah mengikut Rafiq pulang.

Rafiq pulang ke pangkuan Sarakit tanpa menduga tragedi yang sudah menimpa ke atas Sarakit. Mereka menjalani hidup seperti biasa. Penduduk kampung digemparkan oleh beberapa kejadian aneh. Mereka sering terserempak dengan hantu tenggek. Pada waktu yang sama, perogol Sarakit didapati mati seorang demi seorang dalam keadaan yang mengerikan. Ramdi (Adam Shah) yang turut berada di tempat kejadian semasa Sarakit dirogol pada malam peninggalan Rafiq telah meninggalkan kampung kerana takut dengan hantu Sarakit. 

Sementara itu, Puan Mariam juga diganggu oleh lembaga yang menyerupai wajah Sarakit. Dengan bantuan Ustaz Hambali (Dato’ Zamshuri Ramli), Puan Mariam berjaya dipulihkan malah Ustaz Hambali juga mendapat alamat bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku pada Rafiq. Justeru, Ustaz Hambali telah pergi ke tempat tinggal Rafiq dan Sarakit. 

Sejak kedatangan Ustaz Hambali, Sarakit sering kelihatan resah. Dia merayu kepada Rafiq agar Rafiq jangan berubah hati walaupun apa yang akan berlaku. Sarakit juga meminta agar Rafiq menjaga anak mereka dengan baik. Ustaz Hambali mendedahkan perkara sebenar kepada Rafiq bahawa Sarakit telah mati. Qarin Sarakit telah dipuja dan menguasai badan Dina untuk bersama Rafiq. Namun, demi cintanya kepada Sarakit, Rafiq berjanji akan terus tinggal bersama Sarakit sambil menunggu kelahiran anak mereka. 

Ramdi muncul semula di kampung. Apakah Ramdi akan menceritakan kejadian rogol yang dilakukan oleh Jali, Keol, Gato dan Tat? Apakah pula kaitan Pak Bado dengan kematian Sarakit? Berjayakah Ustaz Hambali memisahkan Rafiq dan Sarakit serta memulihkan semangat Rafiq? Apakah yang akan terjadi kepada Dina? 

Teruskan menonton “Dendam Sarakit” menerusi slot Seram, setiap hari Khamis jam 10.00 malam mulai 27 September 2012 bagi  mengetahui kesudahannya. Penonton yang terlepas menyaksikan Dendam Sarakit boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. 


0 Comments posted

Displaying: 0 out of 0

You must be a registered user to comment - please login or register