< Back to Press Releases

Press Releases

Siaran Media: Bintang Mencari Bintang 2

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 17 Disember 2013 – Bakat yang dilahirkan menerusi program Bintang Mencari Bintang (BMB) musim pertama berjaya menyerlah di arena seni tanah air. Kehadiran mereka ternyata diterima ramai. Buktinya, juara musim pertama BMB, Achey kini mempunyai program sendiri yang diberi nama ‘Kintang Kintung’. Malah, bekas peserta BMB musim pertama yang lain juga tidak kurang hebatnya apabila masing-masing menjadi pilihan produser tempatan untuk tawaran berlakon di samping mengacara sesebuah program.

BMB musim pertama berjaya meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.8 juta (16.2 TVR) atau 54.4% syer penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement). Malahan tontonan keseluruhan BMB Akhir musim pertama telah mencipta rekod dengan tontonan mencecah hampir 5 juta sepanjang siaran dari jam 9.00 – 12.00 tengah malam pada 23 Jun yang lepas. Oleh itu, TV3 meneruskan inisiatifnya mencari pelapis dalam bidang komedi dan nyanyian menerusi program Bintang Mencari Bintang yang kini memasuki musim kedua. 

BMB ialah sebuah rancangan program realiti dari TV3 yang memperlihatkan kewibawaan barisan Sifu terkenal tanah air dalam menggilap bakat baru berdasarkan bakat sketsa komedi dan nyanyian bagi menyambung legasi mereka. 

Bagi musim baru ini, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Faizal Ismail dikekalkan antara enam Sifu yang akan menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar. Manakala tiga Sifu yang merupakan wajah baru Bintang Mencari Bintang adalah Saiful Apek, Adlin Aman Ramli dan Ebby Yus. 

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9, Cik Sherina Nordin berkata, “Selepas program Bintang Mencari Bintang musim pertama berjaya menyumbang bakat-bakat komedi baru atau barisan pelapis penghibur ke persada hiburan tanah air, kami tidak teragak-agak untuk menyambung program ini ke musim kedua kerana percaya masih ada banyak lagi bakat-bakat penghibur yang belum dicungkil di luar sana. Pelbagai perancangan dan strategi telah di atur untuk musim kali ini sejak Bintang Mencari Bintang musim pertama berakhir lagi. Persiapan yang kita lakukan bukan semata-mata mahu mencari bakal Bintang tetapi termasuklah kandungan keseluruhan program tersebut beserta dengan barisan Sifu dan juri-juri yang terlibat. Semua ini memainkan peranan penting dalam memastikan Bintang Mencari Bintang musim kedua berada dalam kelas yang tersendiri kerana kita yakin setiap individu yang terlibat dalam program kali ini benar-benar kuat dan berkarisma.

“Bagi musim kedua ini, BMB mengekalkan 3 Sifu iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Faizal Ismail dari musim pertama kerana prestasi mereka yang konsisten dari permulaan hingga ke peringkat akhir BMB. Kami berharap ketiga-tiga Sifu ini dapat membentuk bakat yang bagus seperti Achey, Bochik, Titan dan Tapaw. Sementara itu tiga Sifu baru iaitu Saiful Apek, Adlin Ramli dan Ebby Yus dipilih untuk menjadi Sifu berdasarkan kualiti tersendiri seperti mempunyai pengalaman luas dalam bidang komedi dan nyanyian selain berkaliber sebagai tenaga pengajar. Kami berharap dengan penambahan ahli keluarga besar BMB dapat memberi saingan sengit untuk musim kedua ini,” tambah Cik Sherina Nordin. 

Setiap seorang Sifu akan mempunyai dua orang peserta iaitu seorang peserta dari kumpulan A dan seorang peserta dari kumpulan B. Setiap pasangan Sifu dan peserta akan bersaing antara satu sama lain mengikut kumpulan untuk merangkul gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi. 

Untuk sesi uji bakat, Bintang Mencari Bintang membawa khidmat dua nama besar dalam industri seni tanah air iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Faizal Maas (Ajai) sebagai juri untuk memilih para peserta yang berkelayakan ke pusingan seterusnya di mana pusingan tersebut akan dinilai oleh keenam-enam Sifu untuk memilih anak didik mereka.

Pertandingan realiti bakat penghibur, Bintang Mencari Bintang musim kedua ini terbuka kepada lapisan masyarakat yang berumur 18-28 tahun, lelaki ataupun perempuan dan warganegara Malaysia. Peserta yang menghadiri uji bakat perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu-lagu yang bakal dipersembahkan untuk penilaian juri. Pertandingan ini terbuka kepada peserta solo mahupun berkumpulan tidak melebihi dua orang dan haruslah memiliki bakat sketsa komedi dan boleh menyanyi.

Oleh itu, bagi para peserta yang berminat untuk menjadi peserta kepada enam Sifu ternama ini, bolehlah menghadiri ke sesi ujibakat yang akan diadakan seperti berikut: -

Sesi ujibakat akan diadakan seperti berikut: -

INFO UJIBAKAT

NO TARIKH TEMPAT
1. 28 & 29 Disember 2013 ( Sabtu & Ahad ) Tun Jugah, Kuching , Sarawak
2. 4 & 5 Januari 2014( Sabtu & Ahad ) AEON Ipoh Station 18 Shopping Centre, Ipoh Perak
3. 10 & 11 Januari 2014 Aman Jaya Mall, Sungai Petani, Kedah
4. 18 & 19 Januari 2014 Palm Square, Centre Point Sabah
5. 31 Januari & 1 Februari 2014 ( Sabtu & Ahad ) Plaza Angsana, Johor Baharu , Johor
6. 8 & 9 Februari 2014( Sabtu & Ahad ) AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur


*Ujibakata akan bermula jam 10:00 pagi hingga jam 5:00 petang.

0 Comments posted

Displaying: 0 out of 0

You must be a registered user to comment - please login or register