< Back to Press Releases

Press Releases

Siaran Media: Himpunan Telemovie Terbaik Raya

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 30 Julai 2013 –  Bulan Syawal disambut dengan penuh bermakna oleh seluruh umat Islam selepas memenuhi tanggungjawab mereka dalam menjalankan ibadah berpuasa selama sebulan. Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan pada 8 Ogos 2013 bersamaan dengan 1 Syawal 1434, TV3 dengan tema ‘Anugerah Syawal’ bakal menghimpunkan aneka telefilem terbaik buat tontonan semua. 

Barisan telefilem menarik ini bukan sahaja sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga, malah ia juga memberi kesedaran dan pengajaran moral kepada para penonton sebagai meneruskan tradisi dan kemeriahan menyambut bulan Syawal. Sebanyak 11 telemovie, antaranya, ‘Abah Tak Balik Malam Raya’, ‘Raya Pak Pak Pong’, ‘Kalut Raya’, ‘Satu Hari Di Hari Raya’, ‘Lebaran Kasih’, ‘Baju Raya Kain Perca’, ‘Ijab & Qabul’ dan ‘Malaikat Di Pintu’ yang menampilkan nama-nama popular seperti Awie, Yana Samsudin, Adi Putra, Nora Danish,  Aiman Hakim Ridza, Johan As’ari, Tasha Shilla, Faezah Elai, Emma Maembong dan ramai lagi akan menghiasi kaca televisyen anda dari Hari Raya Pertama hingga 24 Ogos ini.

Jika terlepas menyaksikan telemovie ini di televisyen, penonton juga boleh menonton menerusi ‘catch-up TV’ menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet dengan melayari portal www.tonton.com.my pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.

 

Telefilem Terbaik Sepanjang Raya

Abah Tak Balik Malam Raya, Raya Pertama, 10.30 pagi – 12.30 tengah hari

Basri merupakan anggota penyelamat yang berkahwin dengan Murni. Mereka dikurniakan sepasang anak iaitu Bobby dan Zara. Malangnya, Basri terkorban semasa bertugas sehari sebelum bermulanya bulan Ramadan. Melihat adiknya selalu sesak nafas setiap kali merindui abah mereka, Zara sering memujuk abangnya bahawa abah mereka akan pulang ke rumah malam raya nanti. Zara dan ibunya terpaksa melakukan pelbagai pembohongan setelah pemergian Basri. Bagaimana Bobby berdepan dengan realiti yang abahnya tidak mungkin pulang pada malam Raya ini? 

Pelakon: Faezah Elai, Azhan Rani, Riz Amin, Yaya Maembong, adik Khayreesha, adik Rykal, Mak Engku

Pengarah: Heykal Hanifah

 

Raya Pak Pak Pong, Raya Pertama, 4.00 petang – 6.00 petang 

Salim Maula, seorang duda mempunyai tiga orang anak lelaki iaitu Anas, Basyir dan Muaz. Salim Maula membesarkan anaknya sendiri selepas isterinya meninggal dunia semasa melahirkan Muaz. Dia memiliki perniagaan sendiri iaitu membuat bata blok. Kini semua anak-anaknya sudah dewasa dan hanya duduk menganggur di rumah kerana malas kerja. Walaupun sudah dewasa namun Pak Salim menjaga mereka seperti budak kecil membuatkan mereka naik lemak. Anas dipanggil ‘Abang’, Basyir dipanggil ‘Adik’ manakala Muaz dipanggil ‘Baby’ oleh Pak Salim. Ramadan yang bakal tiba Pak Salim berharap anak-anaknya berubah. Oleh itu, Pak Salim telah memberikan setiap orang anaknya modal untuk memulakan perniagaan. Namun, hanya Anas dan Basyir yang menerima tawaran ayah mereka manakala Muaz memberikan alasan ingin menghabiskan masanya dengan beribadat pada Ramadan ini. Mungkinkah ini titik perubahan bagi ketiga-tiga anak Pak Salim?

Pelakon: Aiman Hakim Ridza, Aliff Aziz, Syafie Naswip, Jalil Hamid, Sharifah Shahira, Esliza Loy

Pengarah: Keoi

 

Menantu Raya, Raya Kedua, 10.30 pagi – 12.30 tengah hari

Haji Rahman dan Mikail mula berkenalan dan berkawan apabila mereka menerima rawatan di hospital yang sama. Anak perempuan kepada Haji Rahman, Aishah sentiasa membaca ayat-ayat Al Quran semasa melawat ayahnya. Aisyah selalu bertelagah dengan Mikail kerana Aisyah berang dengan sikap  Mikail yang bersekongkol membelikan makanan yang tidak sesuai untuk ayahnya yang mengidap kencing manis. Sejak perkenalan itu,  Mikail bukan sahaja jatuh cinta dengan Aishah namun mula belajar keindahan Islam yang sebenar. Michael yang baru pulang ke tanah air tidak pernah merasai sambutan Aidilfitri. Setelah berkahwin dengan Aisyah dia mempelajari sesuatu yang baru dan teruja mengenai sambutan Hari Raya. Apakah konflik yang dihadapi oleh pasangan pengantin baru ini ketika di bulan mulia? 

Pelakon: Zain Saidin, Emma Maembong, Mubarak Majid, Liza Abdullah, Izz Ilham. 

Pengarah:Murali Abdullah

 

Hari Raya Cendawan, Raya Kedua, 4.00 petang – 6.00 petang

Cendawan mahu menyambut Hari Raya bersama keluarga seperti yang ditonton dalam televisyen. Cendawan tidak pernah merasai kemeriahan sambutan Hari Raya bersama ibu bapanya kerana mereka terlalu sibuk dan masih bekerja pada Hari Raya. Tahun ini, Cendawan menyimpan hasrat untuk mendapatkan kedua-dua ibu bapa dan abangnya untuk menyambut Hari Raya bersama-sama. Dengan bantuan kawan baiknya, Kangkung, Cendawan mulakan rancangannya. Apakah impian Cendawan akan menjadi nyata tahun ini? 

Pelakon: Izz Ilham, adik Rykal, Naim Daniel, Puteri Sasha, Noorkhiriah, Esma Daniel

Pengarah: Keoi

 

Kalut Raya, Raya Keempat, 10.30 pagi – 12.30 tengah hari

Anak-anak Sufian dan Niza sedar bahawa setiap tahun mereka beraya di kampung, Mak Lang Qarina akan menunjuk-nunjuk kemewahannya. Dengan itu, mereka mencari jalan untuk membantu ibu bapa mereka untuk berjimat demi persiapan Hari Raya. Salah seorang pelanggan Sufian, Fifi menawarkan peluang untuk menggayakan koleksi baju kepada mereka. Mereka bersetuju dan menerima sejumlah wang selepas menyelesaikan tugasan itu. Wang tersebut diserahkan kepada Sufian dan Niza bagi membuat persiapan Hari Raya. Apakah yang bakal menanti mereka di kampung semasa Hari Raya nanti?

Pelakon: Zul Yahya, Nadia Mustafa, Fiza Halim, Khatijah Tan, Fazli Daniel Ali, Maisara Syazreen

Pengarah: Yeop Hitler

 

Satu Hari Di Hari Raya, Raya Keempat, 4.00 petang – 6.00 petang

Syafiq dan Dahlia merupakan pasangan suami isteri yang sering berselisih pendapat. Syafiq seorang yang garang dan mementingkan diri sendiri manakala Dahlia pula seorang yang keras kepala dan bersifat keanak-anakan. Tahun ini, buat kali pertamanya, mereka akan menyambut bulan Ramadan sebagai suami dan isteri. Apabila kedua-dua tidak bangun untuk bersahur, masing-masing menyalahkan pihak lain kerana tidak mengejutkannya. Auntie Mariani dan Uncle Usop datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama mereka. Melihat kepada gelagat pasangan muda ini, Auntie Mariani dan Uncle Usop cuba menolong mereka untuk menyiapkan kerja-kerja rumah. Berjayakah Syafiq dan Dahlia mencari persefahaman antara mereka bagi menjaga keharmonian rumah tangga yang baru dibina?

Pelakon: Johan Asa’ri, Zarina Zainoordin, Linda Onn, Shamsul Ghau Ghau, Emma Maembong.

Pengarah: Azman Hj Yahya

 

Lebaran Kasih, Raya Kelima, 9.30 pagi – 11.30 pagi

Berkisar tentang persengketaan dua beradik yang telah lama terpendam. Tujuh hari sebelum menyambut bulan Ramadan, Intan menghantar emel mengatakan dia akan pulang ke kampung untuk menyambut perayaan Aidilfitri keluarga. Dia juga akan membawa anak perempuannya setelah suaminya meninggal dunia. Namun, berita gembira ini disambut dingin oleh Azah kerana sudah 10 tahun dia meninggalkan kampung sejak berkahwin dengan warga asing. Kepulangan Intan sebenarnya ialah mahu memohon maaf terhadap semua kesilapan lalunya. Adakah luka yang tersimpan oleh kedua beradik ini akan terlerai akhirnya? 

Pelakon: Beego, Tasha Shilla, Aripah Damanhuri, Engku Ismail, Salina Saibi, adik Syamien Elnisa, Azam Pitt.

Pengarah:Isma Yusoff

 

Dari Ibu, Raya Kelima, 4.00 petang – 6.00 petang

Hazim, 21, tinggal bersama ibunya, Zawiyah, 52, sejak ayahnya meninggal. Zawiyah seorang ibu yang tegas tetapi penyayang. Zawiyah menguruskan kedai runcit peninggalan arwah suaminya. Hazim sering mengeluh apabila Zawiyah sering tidak menunaikan permintaan yang seperti diharapkan olehnya.  Oleh itu, Zawiyah dianggap seorang yang berkira kepada anak sendiri. Hazim kini bakal menamatkan pengajiannya dan sedang menduduki peperiksaan akhir.  Atas dorongan dan displin yang diterapkan oleh ibunya, Hazim menjadi seorang pelajar yang bijak dan cemerlang dalam pelajarannya. Sekali lagi Hazim hampa apabila Zawiyah tidak membelikan kereta seperti yang dijanjikan. Perselisihan dan salah faham ini berlarutan sehingga dua tahun lamanya. Masihkah ada sinar harapan dalam hubungan anak dan ibu ini?

Pelakon: Eja, Azlee Khairi, Zara Zya, Alia Farhani, Ellyas Abdullah

Pengarah: Joeza

 

Baju Raya Kain Perca, Raya Keenam, 4.00 petang – 6.00 petang

Junaidah menjadi ibu tunggal selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan. Ketika itu Junaidah baru melahirkan anak bongsu, Junaidi. Akibat tertekan, Junaidah mengalami gila ‘meroyan’ sehingga pernah cuba membunuh Junaidi. Selepas kejadian itu, Junaidah telah menghilangkan diri and anak-anaknya terpaksa diserahkan kepada rumah kebajikan. Namun, mereka kemudiannya dijaga oleh adik Junaidah, Zaiton. Kini, Junaidi telah berusia 16 dan semakin kacak. Syamira pula berusia 20 tahun dan bekerja di sebuah kedai roti dan kek. Dia juga sudah bertunang dengan Syakil. Berbeza pula dengan Amin, 18, semakin nakal. Dia hanya bergantung kepada Syamira untuk menyara dirinya. Junaidah pula setelah semakin sihat, mula mencari anak-anaknya dengan keinginan untuk menebus kesilapan lalu. 

Pelakon: Khatijah Tan, Azahari Azizam, Nadiya Nissa, Shukri Yahaya, Afzan, Fiza Halim, Din Wahab

Pengarah: Feroz Kader

 

Ijab & Qabul, Raya Kesebelas, 10.00 malam – 12.00 tengah malam

Imran jatuh cinta kepada Zarra pada pandangan pertama semasa majlis rumah terbuka Hari Raya lima tahun yang lepas. Walaupun pada mulanya Zarra cuba menepis cinta Imran, dia akhirnya jatuh cinta apabila melihat kesungguhan Imran. Namun, perkahwinan mereka mula goyah apabila Zarra tidak mahu melahirkan zuriat. Ini membuatkan Imran marah dan sedih lalu Zarra semakin menjauhkan dirinya daripada Imran. Disebabkan ini, Imran mula rapat dengan teman baik Zarra, Wawa apabila mereka selalu berkongsi rasa. Zarra pula menggalakkan Imran untuk mengahwini Wawa. Suatu hari, Zarra telah koma akibat sebuah kemalangan. Apakah yang akan terjadi kepada perkahwinan antara Zarra dan Imran? 

Pelakon: Adi Putra, Nora Danish, Fouziah Gous, Sofi Jikan, Aida Khaleeda, Mustapha Kamal, Dato; Jalaluddin Hassan, Ziela Jalil

Pengarah: Raja Ahmad Alauddin

 

Malaikat Di Pintu, 24hb Ogos (Sabtu), 10.00 malam – 12.00 tengah malam

Ridwan sebelum ini dibesarkan di rumah anak yatim. Namun kini ibu saudaranya, Zai akan mengambil Ridwan untuk dijaga. Walaupun sudah beberapa tahun berkahwin, namun Zai dan Mus tidak dikurniakan anak. Mus kurang senang dengan kehadiran Ridwan namun dia mengikut sahaja permintaan isterinya kerana tidak mahu bertelagah. Walaupun Ridwan merupakan seorang anak yang baik dan patuh pada kata, Mus tetap tidak senang kerana baginya Ridwan merupakan orang luar. Zai mula berbincang dengan Ummi untuk menghantar Ridwan semula ke rumah anak yatim selepas hari raya nanti akibat desakan Mus. Sepanjang Zai di tempat kerja, Ridwan dibiarkan sendirian di rumah sehingga dia bertemu rakan baru iaitu Alif. Mereka berdua mendapat idea untuk mengumpul duit dengan melakukan perkhidmatan seperti membersihkan halaman rumah, mengutip botol, plastik dan surat khabar lama. Pada sebelah malam pula, mereka menjual bunga api dan mercun ‘pop pop’. Suatu hari, selepas membersihkan halaman Cik Munah, Ridwan dan Alif memberanikan diri pergi ke sebuah rumah yang tidak mereka kenali. Sejurus tiba di rumah tersebut, Ridwan memberanikan diri membuka pintu. Tiba-tiba mereka ternampak kelibat seseorang yang menakutkan. Sebelum mereka sempat melarikan diri, mereka telah ditangkap penghuni rumah tersebut iaitu Tok Bad. 

Pelakon: Awie, Yana Samsudin, Fazli Daniel, Fakhrusy Syakirin, Puteri Balqish, Aziz Singah.

Pengarah: Yeop Hitler


Related Articles

Sidang Media: Samarinda - Fira Ayuni

Webmaster TV3

Terbaru di slot Samarinda, drama bersiri 15 episod

Read more...

Sidang Media: MYSyg

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 28 Ogos 2013 – Bersempena dengan

Read more...

Sidang Media: Asmara Luna

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 27 Ogos 2013 – Terbaru di

Read more...

Sidang Media: Majalah3 (Hokaido, Jepun)

Webmaster TV3

    Minggu ini Majalah 3 membawa penonton menjelajah

Read more...

Sidang Media: Rumah Terbuka Bersamamu

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 26 Ogos 2013 – Dalam kemeriahan

Read more...

Sidang Media: Masih Ada yang Sayang (Wanita Hari Ini)

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 20 Ogos 2013 – Tradisi kunjung

Read more...

Sidang Media: Projek3R

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 19 Ogos 2013 – 3R (Respek,

Read more...

Sidang Media: Akasia - Cinta Jannah

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 12 Ogos 2013 – Cinta tidak

Read more...

Sidang Media: Lestary - Diandra

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 16 Ogos 2013 – Mereka berdua

Read more...

0 Comments posted

Displaying: 0 out of 0

You must be a registered user to comment - please login or register